Thursday, September 25, 2014

Trauma Lepasan Kolej Islam Sultan Alam Shah Terhadap Institusi Usrah

TRAUMA LEPASAN KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH TERHADAP INSTITUSI USRAH.

"Kolej ini menjadi sebagai satu benih yang akan menghasilkan buah di masa hadapan untuk bangsa Islam di negeri ini dan seterusnya keamanan dunia seluruhnya.

•Di kolej inilah terletak tinggi rendahnya, baik buruknya, mundur majunya agama Islam kita (di Tanah Melayu) yang suci ini"

Petikan daripada kata-kata Prof Zulkifli Muhammad, salah seorang yang terlibat menubuhkan Kolej Islam pada tahun 1955

Bismillah.

Sekali lagi.
Artikel yang sesuai dibaca oleh alumni Kolej Islam generasi pasca SBT (sekolah berprestasi tinggi). Saya tidak bertanggungjawab atas segala percanggahan pendapat antara saya dan anda, atau sebarang keadaan yang bercanggahan dengan situasi. 

Rentetan daripada catatan saya yang lepas berkaitan KECENDERUNGAN ALUMNI KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH UNTUK TIDAK BERADA DALAM JEMAAH (rujuk notes yang sebelumnya), saya mendapat banyak respons yang boleh tahan baik untuk menjawab persoalan-persoalan kenapa wujudnya golongan yang ragu-ragu untuk berada di dalam jemaah. 

Maka segala puji dari Jalla wa A'la, yang memberikan kekuatan dan ilham untuk menzahirkan sebab-sebab keraguan mereka terhadap institusi usrah lalu tercetuslah tajuk yang boleh tahan kontroversi kali ini.

ISU SEMASA MENJADI MOMOK UTAMA
Hari ini, kita tidak dapat lari daripada hakikat berbagai-bagai isu menjadi momok yang menghantui kita. Dari isu Syiah, Global Ikhwan (dahulunya dikenali sebagai al-Arqam), Wahhabi, Salafi, Jabbariyah dan Mu'tazilah (saya kira ajaran ini sudah pupus tetapi pemikiran seperti mereka ini semakin bertapak dalam kalangan mahasiswa) bahkan atheist berlegar-legar menjadi topik yang selalu hangat dibincangkan di mana-mana.

Sebut sahaja negeri Perlis, apa nanti muncul dalam bayangan minda? UIA Gombak? Cukuplah dua contoh yang pasti saya kira apabila disebutkan, anda tahu apa perkataan yang menggandingkan mereka. 

KESAN DIMOMOKKAN
Oh ya, apabila isu semasa seperti ini terlampau dimomokkan hingga sebati dalam pemikiran mahasiswa hari ini terutama mahasiswa dalam negara, mereka terlampau berhati-hati dalam berusrah. Sehingga saya sendiri diceritakan bagaimana gerakan usrah dari mereka yang beraqidah Syiah juga cuba mengambil tempat menarik mahasiswa untuk menyertai mereka. Saya sedar penulisan saya untuk kali ini turut dibaca oleh anda yang beraqidah Syiah berdasarkan 'friends' saya di sini. Mungkin ini isu yang sensitif tetapi untuk artikel kali ini bukan persoalan Syiah atau Sunnah. Tetapi berfokis kepada tajuk saya. 

Keadaan seperti ini akhirnya menyebabkan gejala terlampau berhati-hati (atas sebab menjaga kemurnian aqidah) hingga mahasiswa terus mengambil keputusan untuk tidak lagi berusrah. Dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajaran. Lalu, terhasil lah mahasiswa yang rutinnya; kuliyah, tutorial, studi, kuiz, final, grad.

Allahu.

Kerana tujuan penciptaan seorang manusia lebih daripada untuk mendapat pekerjaan, maka rutin ini harus dikaji semula.

DI MANA SILAPNYA?
Saya sendiri ditanya apakah badan-badan NGO yang ada di Malaysia yang boleh mahasiswa lepasan Kolej Islam sertai. Syukur sungguh kerana sudah ramai kembali terdetik untuk menyertai gerabak dakwah dan tarbiyah. Saya menyenaraikan banyak persatuan-persatuan yang saya tahu dan boleh mereka sertai seperti Persatuan Mahasiswa Islam, Persatuan Pelajar Islam Selangor, HALUANSiswa, IKRAMSiswa, PEMBINA, Rakan Masjid dsbgainya. Pendirian saya dalam persoalan-persoalan persatuan (jemaah) mana yang lebih baik, perbezaan jemaah dan sebagainya tidak dapat saya jawab atau ulas disebabkan kesemua persatuan (jemaah) yang saya senaraikan sememangnya mempunya matlamat yang sama tetapi uslub (cara) yang berbeza. Saya bimbang sekiranya ulasan diberi dari pihak saya akan menyebabkan perlaku ketidakadilan memberi pendapat.

Baiklah.

Di mana salahnya atau silap apabila ada sahabat dan graduan lepasan kolej islam yang mengakui tidak langsung tahu menahu mengenai kewujudan jemaah ataupun keperluan berada dalam jemaah.

(balik-balik isu jemaah -_-)

Kata mereka, sistem tarbiyah dan biah solihah semasa di Kolej Islam tidak pernah menyebut atau menyatakan persoalan seperti ini. Errr. Speechless sekejap. *dalam silibus usrah tidaklah dinyatakan secara jahar (jelas) perihal keperluan ini mungkin. Pasti ada sebab perkara sebegini berlaku dan saya sedikit demi sedikit telah hadam sebabnya.

FENOMENA
Syiah dengan gerakan mengusrahkan kader-kader mereka yang baru, Global Ikhwan juga begitu. Rancak sekali! Ditanya oleh seorang mahasiswa bagaimana untuk menarik atau membantu sahabat seuniversiti yang terjebak dalam usrah sebegini? Maka, tertarik saya pada komen di artikel (notes) saya yang terdahulu: "Lepasan Kolej Islam lah yang perlu menjadi murabbi membimbing kawan-kawan". Nah! Dihempapkan dengan tanggungjawab menjadi murabbi. Bagaimana pembawaan karektor kita? Qudwah Hasanah kita? Method dakwah fardhiyyah kita? Sudahkan dihadam kesemuanya. Dan bagaimana mungkin kita menjadi murobbi jika kita tidak lagi berada dalam sistem usrah yang sistematik (Ayat ni, sejujurnya ayat nak ajak menyertai persatuan yang sahih aqidah insha allah) ??

Mari kita renung semula ayat yang dahulunya mungkin biasa jadi hujah kepada pimpinan BADAR.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

MERAIKAN KEPELBAGAIAN 
Secara mudah, trauma terhadap institusi usrah mungkin disebabkan banyak isu semasa yang menjauhkan golongan marhaen daripada mendekati dan memahami perjalanan dakwah dan tarbiyah. Mungkin juga, sifat ahli di antara jemaah-jemaah sendiri yang seakan assobiyah sesama sendiri menyebabkan golongan marhaen hilang tsiqah terhadap usaha dakwah dan tarbiyah yang dibawa oleh jemaah itu sendiri. 

Terbaru, isu Negaraku satu gagasan yang dibawa untuk sebuah perpaduan yang berkekalan juga menjadi isu hangat antara jemaah. Sepatutnya yang berlaku pada hemah saya yang marhaen ini, perbincangan dan persefahaman harus dicapai untuk mendapatkan kata sepakat dalam isu ini. Bukanlah menyalahkan di dalam laman rasmi.

PENUTUP.
Isu ini tidak akan lapuk dek panas, takkan lekang dek hujan. Saban tahun kolej islam menghasilkan lepasan-lepasannya yang perlu dipersiapkan dengan tsaqafah sebegini dan pastinya untuk penulisan saya yang kali ini, saya berfokus kepada mahasiswa dalam negara.

Untuk permintaan buah fikir saya mengenai isu taadud jemaah, saya kira isu ini akan dihuraikan dalam edisi-edisi yang mendatang setelah saya benar-benar menghadam dan memahami atas dasar dan sebab apa saya menghuraikannya insha allah.

Untuk kali ini dan selama-lamanya.
Moga Allah redha.

Allahumma bariklanaaa wa sallimnaa fi Ramadan wa ballighnaa lailatul qadr.

Fatin Fatini binti Ismadi
19 Ramadan 1434H
Alumni Kolej Islam Sultan Alam Shah
SPM 2012


No comments:

Post a Comment