Thursday, September 25, 2014

Kecenderungan Alumni Kolej Islam Sultan Alam Shah Untuk Tidak Berada Dalam Jemaah

KECENDERUNGAN ALUMNI KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH UNTUK TIDAK BERADA DALAM JEMAAH 

"KISAS bukan syurga. 
Penghuninya bukan malaikat"

*Artikel yang sesuai dibaca oleh alumni Kolej Islam generasi pasca SBT (sekolah berprestasi tinggi). Saya tidak bertanggungjawab atas segala percanggahan pendapat antara saya dan anda, atau sebarang keadaan yang bercanggahan dengan situasi. 

Hasil penulisan saya adalah daripada penerhatian menjangkaui mahasiswa banyak negara baik Eropah, Timur, Timur Tengah ataupun dalam negara. Saya juga tidaklah seberapa arif mengenai kepelbagaian jemaah yang ada melainkan dengan hasil pembacaan saya, pergaulan dengan sahabat-sahabat dari pelbagai latar belakang jemaah selain pernah acah-acah merasa dengan kepelbagaian usrah dari banyak jemaah sebelum saya benar-benar yakin untuk berada di dalam jemaah yang sekarang ini.

Bismillah.

STAIL TARBIYAH KOLEJ ISLAM
Rata-rata masyarakat maklum corak tarbiyah yang ada pada Kolej Islam mampu menjadi agen perubahan kepada pelajar Kolej Islam itu sendiri. Kami mulai kenal makna tarbiyah itu sendiri sedari awal hari pertama pendaftaran. Pandangan dan pergaulan terjaga antara lelaki dan perempuan. Amalan menyebarkan salam di mana-mana. Menghormati para guru persis ibu bapa. Budaya al-Quran tak kira masa. Alunan selawat memuji memuja Nabi SAW juga sentiasa ada setiap kali pengetusi majlis menjemput sesiapa muncul di pentas. Bahkan, budaya sunnah berpuasa bukan lagi ajaib di mana-mana! Hingga jika ada pelawat yang berkunjung tiba, mereka terpesona dengan tarbiyah dan biah solihah yang ada. Saya berana mengatakan budaya kapel di kolej islam hampir tiada pada zaman saya era SBT. Kalau ada, itu kes terpencil gamaknya.

DI MANA SILAPNYA?
Saya jadi tertanya-tanya untuk banyak perkara pada zaman saya seolah-olah ada tempang pada sistem tarbiyah. Maaf ya. Jujurnya, organisasi Badan Dakwah dan Rohani dan Lembaga Ketua Pelajar dan badan-badan besar yang lain seakan-akan ada jurang. Hingga exco badar adakalanya nampak 'mulia' untuk banyak benda berbanding pelajar biasa. Hingga budaya nampak 'mulia' ni menyebabkan para ahli badar biasa terasa jurang untuk bergaul dengan mereka. Exco badar dengan kelompok mereka. Tapi saya tidak menafikan pula betapa exco badar menjadi penggerak program pentarbiyahan pelajar secara keseluruhannya. Berapa banyak masa yang mereka habiskan untuk menjayakan dan mendokong program dakwah dan tarbiyah. Budaya 'bash' pelajar junior yang dilihat bermasalah dalam tarbiyah juga pada saya sangatlah tidak wajar. Ini kelompongan yang ada sehingga menyebabkan pelajar biasa yang 'agak bermasalah' berasa trauma kepada tarbiyah dan dakwah. Perlu diperhatikan era sbt (sekolah berprestasi tinggi) ini, pelajar kemasukan tingkatan empat bukan semuanya dari latar belakang sekolah agama. Ada, bahkan ramai yang datangnya dari sekolah harian yang menawarkan kelas aliran agama yang membolehkan mereka mengambil subjek tambahan bahasan arab semasa PMR. 

Selesai melihat suasana ketika di sekolah.

Seusai tamat pengajian di Kolej Islam, yang menggusarkan, ramai antara figura-figura tarbiyah dan dakwah semasa di sekolah mengubah haluan mereka, cara fikir, pembawaan identiti semasa di institusi pengajian tinggi. Saya akan mengulas perkara ini sebentar lagi seusai mengupas silibus usrah di kolej islam.

MENARIK PADA SILIBUS USRAH
Usrah merupakan perkara terpenting dalam pemeliharaan tarbiyah, dakwah dan biah solihah di Kolej Islam. Menariknya silibus usrah di Kolej Islam adalah apabila silibusnya adalah berdasarkan daripada naskhah 'Mengapa Aku Menganut Islam' karangan Dr Fathi Yakan. Sebelum usrah daripada para nuqaba' kepada anak-anak usrah, para asatizah terlebih dahulu menyemak pemahaman nuqaba'. Nuqaba' sendiri membentuk jawatankuasa yang dinamakan Tanzim Jabatan Nuqaba' yang setiap satunya berperanan untuk membina fikrah, membantu memahamkan para junior dan pelajar perihal masalah fiqh, jabatan yang bertanggungjawab mengadakan riadhah berkala. Semuanya tersusun dari kalangan nuqaba' itu sendiri. Perlu diingatkan nuqaba' sebelum dilantik, perlu mengambil ujian bertulis, ujian hafazan dan sedikit temu duga ringkas. Pastinya, tidak semua nuqaba' terdiri daripada exco badar. Para nuqaba' secara berkala akan diadakan untuk mereka Simposium Pengenalan Nuqaba', Program Daie Muda, Program Imam Muda atau dalam kata ringkasnya 'daurah' atau 'tamrin'.

Cara pembawaan usrah adalah santai dan terpulang kepada nuqaba' itu sendiri. Saya terpaksa mengakui betapa silibus usrah di kolej islam persis banyak silibus usrah dari banyak jemaah yang pernah saya 'acah-acah' menyertainya sebelum seperti saya katakan, sebelum komited kepada satu jemaah. Dari pengenalan isu ISK, Ghazwatul Fikr, Taadud Jemaah, Syahadatul Haq, Haraki sebenarnya kesemuanya sudahpun dipelajari dalam silibus usrah Kolej Islam, cumanya mungkin pada Ghazwatul Fikr itu tidaklah ditekankan perkataan GF itu sendiri. Tapi, kami belajar dan mengkaji segala ideologi masa kini. Dan pendedahan ideologi ini di bawah Tanzim Jabatan Nuqaba' biro Fikriyah (yang bertanggungjawab mencorak fikrah) 

ALAM UNIVERSITI
Pengakuan dari sahabat rapat saya ketika saya bertanyakan isu usrah di universiti, beliau mengakui silibus usrah universiti.

"Membosankan. Lantaran kesemua pengenalan usrah universiti dah pun dihadam masa kat kolej islam"

Lantas, beliau mengambil keputusan untuk tidak komited menyertai usrah atas alasan sudah tahu.

Belum dicampur dengan cerita sahabat saya yang lainnya mengatakan jemaah - jemaah di tempat beliau agak selektif memilih ahli. Katanya.

"Kitorang yang rock, bergaya up-to-date semua ni mana layak join dorang. Belum lagi acah-acah nak sir (rahsia) pergi usrah, padahal sekampus tahu"

Saya tidak tahu di mana salahnya dan siapa yang bersalah dalam situasi sebegini tetapi ini dilihat sebagai punci lepasan kolej islam menjauhi jemaah.

Ada juga sahabat saya yang mengatakan sebegini.

"Aku boleh nak join usrah. Tapi jangan paksa aku pergi daurah"

Mungkin pemikiran sebegini adalah hasil lompong dan lompang fikrah yang belum terbina dengan asa fahaman dnt (dakwah dan tarbiyah) yakni manhaj tarbiyah yang belum kukuh. Manhaj tarbiyah juga terbina daripada usrah, daurah, mukhayyam, tamrin, rehlah, jaulah. 

Dan yang paling menyedihkan.

"Malas arh nak join usrah, jemaah bagai. Penat dah jadi baik. I should have my own life in the university"

Yang ni, sebaik terdengar ungkapan sebegini, hampir-hampir jatuh kerusi. Istighfar panjang.

SIMPTOM PENYAKIT ALERGIK USRAH dan JEMAAH
Penyakit ini sebenarnya bukan sahaja dari kalangan pelajar biasa-biasa sebenarnya. Jika dilihat secara kasar, para exci badar, pimpinan sekolah juga tidak terlepas dari virus sebegini. Belum dicampur dengan keengganan sebahagian daripada mereka untuk menyertai apa-apa usrah beralasankan "Mencari Tuhan lebih baik secara bersendirian jika itu membuatkan lebih dekat dengan Tuhan"

Yang ni serius tak paham apa yang cuba golongan ini sampaikan kalau kata mereka.

"Baik jadi orang normal yang faham agama. Tak perlu join apa - apa jemaah"

TUNTUTAN BERADA DALAM JEMAAH
Di Malaysia sendiri kita punya banyak jemaah dengan matlamat sama dan uslub berbeza. Sedangkan Ikhwanul Muslimin sendiri mengakui mereka adalah jemaah daripada jemaah-jemaah Islam . Menuju ustaziatul alam memerlukan kita membetulkan fardul muslim hingga akhirnya menggapai tangga Ustaziatul Alam. Bukan menjadi satu persoalan atau pertembungan sekiranya saya menyertai jemaah A dan anda menyertai jemaah B. Sepatutnya tidak timbul isu ahli jemaah A tidak bertegur sapa dengan ahli jemaah B. Itu bukan daripada ajaran dan sifat Islam yang syumul. 

Firman Allah Taala.
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

DAN NAK HABIS :)
Sayugianya, kecenderungan lepasan kolej islam untuk tidak lagi bersama usrah yang bersistem setelah meninggalkan kolej islam besar kemungkinan disebabkan trauma-trauma yang pernah terjadi daripada banyak kejadian yang bertopengkan tarbiyah semasa di Kolej Islam. Di situ, tak perlu disalahkan siapa-siapa tetapi pada saya, keberadaan dalam sistem usrah yang sistematik (jemaah) menyebabkan usaha anda mencari redha Allah dan mendekatkan diri kepadaNya lebih berstrategi kerana anda telah pun sedari awal memilih untuk berada dalam usrah yang sistematik.

Mungkin (mungkinlah mungkin). Doanya ada yang terjentik jiwa; ada jiwa-jiwa yang seusai tamat membaca catatan saya terasa berminat untuk kembali ke dalam dunia dakwah dan tarbiyah selepas anda mengenali tarbiyah di kolej islam satu masa dahulu. Maka, apalagi, silalah gi cari ikhwah akhowat di tempat anda untuk anda diusrahkan buat kesekian kali.

TAMAT!
Allahumma bariklana wa sallimna fi Ramadhan wa ballighna lailatul qadr.

Ameen.

Moga Allah redha

Fatin Fatini binti Ismadi
17 Ramadan 1434H
KB Muslimat 2011/12
Bekas Biro Fikriyah 
Tanzim Jabatan Nuqaba' 
Kolej Islam 2012

No comments:

Post a Comment